Saturday, December 26, 2009

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: .......

FM: Berubat Dengan Tampal Dan Jampi
by Anjung Siber on Sun Feb 08, 2004 1:29 pm

Berubat Dengan Tangkal Dan Jampi
Fatwa Muasyirah
Dr Yusuf Qardhawi

Soalan:

Saya berumur 27 tahun dan telah beristeri. Sepanjang tahun pertama perkahwinan, hidup kami begitu bahagia.

Kemudian isteri saya ditimpa beberapa keganjilan. Setelah itu ketenangan dan kebahagiaan yang menghiasi rumah kami telah menjadi porak-peranda seolah-olah dilanda taufan. Suasana rumah dipenuhi dengan jeritan dan percakapan yang sia-sia hinggalah kepada perkara yang sekecil-kecilnya.

Saya mula berfikir dan berfikir tetapi sia-sia. Selepas penderitaan yang panjang, keluarga dan kerabat menasihati saya supaya membawa isteri saya itu berjumpa bomoh. Bomoh tersebut berkata bahawa kepala isteri saya telah diserapi jin. Untuk menghalaunya mestilah dibaca jampi selama 15 hari. Kemudian saya membuat tangkal dan mengikatkannya ke leher isteri saya.

Tempoh masa yang disebutkan telah berlalu tetapi masih tidak berjaya. Isteri saya masih begitu juga. Apa pandangan tuan terhadap persoalan ini?

Adakah ia mempunyai sandaran dalam agama atau pun tipu helah semata-mata.

Jawapan:

Terdapat beberapa hadis yang memberi amaran kepada kaum muslimin terhadap perkara-perkara ini dan menegah mereka menggantungkan harapan untuk sembuh kepada tangkal. Islam menamakannya "tama'im" iaitu sesuatu yang diikatkan kepada kanak-kanak dan sebagainya untuk mengelakkan daripada gangguan jin dan sawan lintasan hantu dan seumpamanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya jampi, tangkal dan sihir adalah syirik." (Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Baihaqi dan A1-Hakim)

“Al Raqqu” dalam hadith adalah kata plural bagi kalimah “al raqqiah " yang bererti seseorang itu menjampi mentera dengan kata-kata yang tidak difahami. Inilah jampi yang ditegah.


Berlainan pula mengenai apa yang datang daripada Rasulullah s.a.w seperti:

"Wahai Tuhan Kami, Tuhan sekelian manusia, hilangkanlah kesusahan, sembuhkanlah dan Engkaulah yang menyembuhkan, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada Engkau, kesembuhan yang tidak meninggalkan apa-apa kesan kesakitan." (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Bukhari daripada Anas)


Ulamak telah berkata, jampi adalah harus dengan tiga syarat:

1. Dengan menyebutkan Allah taala atau salah satu nama-Nya.
2. Dengan bahasa Arab dan apa yang dapat difahami maknanya.
3. Meyakini bahawa perkara itu tidak dapat memberi kesan secara tersendiri, bahkan adalah dengan ketentuan Allah jua.

Tangkal pula masih banyak digunakan oleh manusia. Saudara yang bertanya telah menamakannya sebagai "al-Jamiah". Setengah orang namakannya "al-Hirz" atau "al-Hijab" dan sebagainya. Kesemua ini ditegah oleh Islam.

Satu rombongan seramai sepuluh orang telah datang untuk berbai'ah dengan Rasulullah, tetapai baginda hanya menerima sembilan orang daripada mereka untuk berbai'ah dan mengecualikan seorang daripada mereka. Ketika ditanya, Rasulullah menjawab: "Di lengannya terdapat tangkal". Setelah dibuang tangkal tersebut barulah Rasulullah menerima baiah daripadanya.

Seterusnya baginda bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang menggantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah syirik."

Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Hakim dan Abu Ya'la dengan sanad yang baik. (Maksud hadis ini salah menggantungkan tangkal dan hatinya yakin terhadap kekuatan tangkal itu.)

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Amran bin Husin bahawa Rasulullah telah melihat di tangan seorang lelaki terdapat gelang emas lalu bertanya:

"Apakah ini?

Lelaki itu menerangkan:

"Saya memakainya kerana bahu saya ditimpa penyakit sengal-sengal."

Lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya benda itu tidak menambahkan apa-apa kepadamu kecuali kelemahan. Lucutkanlah ia dari lenganmu. Sesungguhnya jika engkau mati dan benda itu masih berada di badanmu, engkau tidak akan terlepas daripada azab selama-lamanya."

Berdasarkan kisah ini, para sahabat dan tabiin menentang keras penggunaan tangkal. Huzaifah, ketika melihat seorang lelaki yang mengikat benang seumpama tangkal, telah membaca firman Allah dalam surah Yusuf:

"Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mempersekutukan Allah (dengan sembahan-sembahan lain).” (Yusuf: 106)

Said bin Jubair berkata:

"Sesiapa yang menanggalkan tangkal daripada leher seseorang, maka seolah-olah dia membebaskan seorang hamba."

Ibrahim An-Nakhaie, salah seorang tabiin yang utama berkata:

"Mereka (sahabat- sahabat) membenci tangkal dalam apa jua bentuknya, sama ada daripada al-Quran atau bukan daripada al-Quran."

Mengenai tangkal atau azimat daripada al-Quran, setengah-setengah ulamak mengecualikannya, tetapi larangan ke atasnya adalah lebih wajar kerana terdapat beberapa dalil yang menguatkannya:

1. Hadis yang membawa tegahan adalah dalam bentuknya yang umum. Tidak dibenakan antara satu bentuk tangkal dengan yang lain. Ketika Rasulullah menegah seorang lelaki memakai tangkal, baginda tidak berkata kepadanya adakah tangkal itu daripada al-Quran atau tidak. Sebaliknya baginda menegah pemakaian tangkal dalam apa jua bentuknya.

2. Berdasarkan prinsip menutup pintu-pintu keburukan. Sesungguhnya sesiapa yang menggantungkan al-Quran sudah tentu akan menggantungkan yang lain pula. Orang yang melihatnya tidak mengetahui sama ada al-Quran atau tidak.

3. Ini merupakan penyalahgunaan al-Quran. Pemakai akan memasuki tempat bernajis, qadial hajat, beristinjak dan berada dalam keadaan janabah atau haid (bagi perempuan), sedangkan tangkal itu sentiasa terikat pada badannya.

Berdasarkan kepada hujah di atas, yang sahihnya, tangkal tidak dibenarkan. Rasulullah telah bersabda yang bermaksud kepada orang yang menggantungkan tangkal:

"Sesiapa yang menggantungkan tangkal, maka tidak akan disempurnakan Allah baginya. Sesiapa yang mengikat azimat maka tidak ada pertolongan Allah baginya."

Inilah pengajaran Islam. Menjadi kewajipan bagi saudara yang bertanya membawa isterinya kepada doktor, sama ada doktor itu sendiri mengubatinya atau menyerahkannya kepada doktor yang pakar mengenai penyakit itu.

Mungkin keadaannya itu disebabkan oleh urat sarafnya kerana sawan dan sebagainya. Semestinya dia membawa isterinya menemui doktor supaya diubati. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Berubatlah wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan suatu penyakit kecuali dijadikan juga ubatnya".
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Ashabussunan, Ibn Hibban dan Al-Hakim. Tarmizi mengatakan hadis ini adalah hadis sahih.)


Dalam sahih Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya pengubatan itu adalah dengan tiga cara: Minum madu, berbekam dan besi panas."

Tidak berlaku kesembuhan pada tangkal, bacaan dan sebagainya. Sebaliknya ia terdapat pada perkara tabii iaitu semua kaedah perubatan yang dimasukkan menerusi mulut, termasuk juga penggunaan jarum (injection), berbekam (pembedahan) dan besi panas (sekarang ini penggunaan tenaga elektrik). Inilah antara kaedah-kaedah perubatan yang dibawa oleh Islam dan disyariatkan oleh Rasulullah.

Rasulullah berubat, berbekam dan dibawakan doktor kepadanya. Baginda menyuruh sahabat-sahabat dan umatnya supaya berubat. Maka lebih utama kita mengikuti sunah Rasulullah s.a.w.

Kita berdoa kepada Allah supaya menunjuki kita apa yang diredainya, menyempurnakan petunjuk yang lurus dalam urusan kita ini dan memberi kefahaman kepada kita mengenai urusan agama hingga kita dapat mengetahui jalan yang lurus.

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan amat hampir.Anjung Siber
Ahli Kanan


BicaraMuslim.com

No comments: